Ketika saya berkira-kira mahu menulis artikel mengenai Hari Raya Fitrah
atau Idul Fitri, saya teringat akan ungkapan yang pernah saya dengar
daripada guru saya, dan tercatat pula dalam kitab fiqh Hasyiyah
Bujairimi ‘ala al-Khatib :وَلَيْسَ العِيدُ لِمَنْ لَبِسَ الجَدِيدَ بَلْ هُوَ لِمَنْ طَاعَتُهُ تَزِيدُ، وَلاَ لِمَنْ تَجَمَّلَ بِاللُّبْسِ وَالرُّكُوبِ بَلْ لِمَنْ غُفِرَتْ لَهُ الذُّنُوبُ. Hari raya bukanlah untuk orang yang berpakaian baru lagi indah. Hari raya adalah untuk orang yang ketaatannya semakin bertambah. Hari raya bukanlah untuk orang yang berhias dengan pakaian dan kenderaan. Hari raya adalah untuk orang yang bersuci daripada dosa dan kederhakaan.
Ungkapan yang berima ini sebenarnya bukan puisi walaupun kelihatan
seperti puisi. Puisi bukan sekadar mempunyai rima, puisi juga terbina
berasaskan pola dan sukatan suku kata yang tertentu. Berdasarkan kajian
ilmu balaghah (retorik), ungkapan ini ialah prosa yang mengandungi unsur
saj’, iaitu perulangan bunyi yang sama. Apabila saya mencari-cari puisi
yang bertemakan kegembiraan berhari raya dalam antologi puisi yang
berjudul al-Mawsu’ah al-Syi’riyyah, saya bertemu dengan puisi gubahan
al-Buhturi, lalu saya terjemahkan puisi ini kepada bahasa Melayu dalam
bentuk syair Melayu:
فَانْعَمْ بِيَوْمِ الفِطْرِ عَيْنًا إِنَّهُ # يَوْمٌ أَغَرُّ مِنَ الزَّمَانِ مُشَهَّرُ Sambutlah raya dengan gembira, Kembali fitrah bahagia sentosa, Idul Fitri hari yang mulia, Sudahlah masyhur antara masa.
Al-Buhturi memilih pola irama kamil ketika menyusun puisi yang indah
ini. Menurut ahli prosodi Arab, pola irama kamil sesuai digunakan untuk
sebarang tema. Sebagai penyair handalan, al-Buhturi tidak hanya
mengenakan jubah yang cantik ketika berhari raya, tetapi turut menggubah
madah yang indah sebagai juadah sasterawi hari lebaran. Beliau
menuangkan ilham rasanya tentang hari raya dalam serangkap puisi untuk
dihidangkan kepada khalayak pembaca.
Ketibaan Idul Fitri
seolah-olah tidak meriah, dan semacam ada kekurangan jika DJ radio tidak
memutarkan lagu Balik Kampung dendangan Allahyarham Sudirman. Lagu yang
dikatakan malar hijau ini salah satu lagu raya yang termasuk dalam
senarai ‘mesti dengar’ bagi perantau yang berhijrah ke kota. Semangat
lagu ini memanggil mereka pulang ke desa pada musim raya, bagaikan
burung pulang ke sarang atau ikan pulang ke lubuk. Idul Fitri bukan
sekadar persoalan balik kampung. Ada persoalan yang lebih signifikan
daripada sekadar suasana balik kampung. Idul Fitri bermaksud balik
fitrah. Orang yang benar-benar berpuasa; menahan diri daripada larangan
Tuhan, bukan sekadar tidak makan dan tidak minum, akan kembali kepada
fitrahnya yang asal; suci daripada dosa dan noda. Puasa dan taubat
merupakan detergen yang menyuci segala dosa. Justeru, persoalan yang
seharusnya berlegar dalam fikiran kita ialah “Pada hari raya kali ini,
saya balik fitrah atau tidak?” bukan semata-mata persoalan “Saya balik
kampung atau tidak?”
Manusia dicipta Tuhan dan dilahirkan ke
dunia dalam keadaan fitrah. Manusia secara fitrahnya suka akan kebaikan
dan benci akan keburukan. Namun, setelah manusia lahir dan kian dewasa,
debu duniawi yang melingkarinya secara beransur-ansur menimbus fitrah
dirinya. Kian lama dia kian terpengaruh dengan lingkungan. Fitrah
dirinya mula tertimbus. Jika angin kesedaran bertiup kencang, fitrahnya
akan terserlah semula. Akan tetapi jika dirinya selalu dimanjakan dengan
belaian syaitan dan dakapan nafsu, lambat laun akan terbukalah
seleranya kepada kejahatan. Mulai saat itu, dia akan kehilangan selera
untuk mengerjakan amal salih. Ramadan ialah musim yang terbaik untuk
menggali dan menggilap fitrah yang telah tertimbus. Mereka yang berjaya
menggali dan menggilap fitrah dirinya pada akhir Ramadan, akan diumumkan
sebagai min al-a’idin wa al-faizin, termasuk dalam senarai pemenang
perlumbaan kembali kepada fitrah sejati. Madrasah Ramadan akan
melahirkan manusia ‘baru’ pada tanggal 1 Syawal. ‘Baru’ tidak dinilai
pada pakaiannya tetapi pada hati dan jiwanya. Hati ‘lama’ yang mati akan
berganti dengan hati ‘baru’ yang hidup. Hati itu akan hidup berbekalkan
tenaga iman yang telah dijana sepanjang Ramadan.
Apabila
Ramadan berangkat pergi nanti, jangan timbus fitrah yang telah berjaya
digali dan digilap dengan timbunan dosa dan noda yang baru. Janganlah
bertindak seperti wanita yang menenun kain pada waktu siang, tetapi
merombak kain itu semula pada waktu malam. Kerja yang sebegini ialah
kerja yang sia-sia. Berwaspadalah selalu agar fitrah diri tidak
tertimbus semula, kerana kita tidak dapat memastikan sama ada kita masih
bernyawa atau tidak pada musim menggali dan menggilap fitrah yang akan
datang. Ramadan dan Syawal akan tiba lagi, tetapi adakah kita pasti akan
tiba ke Ramadan dan Syawal lagi?